Thursday 12 January 2012

Asma’ul Husna ke-2:
AR-RAHMAN (Maha Pemurah) :-
“Pemberi nikmat kepada hamba-Nya dan Maha Pengasih ke atas mereka dalam kehidupan dunia”
Fadhilat :
Membaca ‘Ya Rahman’ sebanyak 100 kali selepas solat fardhu akan menghilangkan sifat pelupa dan lalai serta mempunyai ingatan yang baik dan akan bersifat pemurah…InsyaAllah…

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…
Hanya ucapan Alhamdulillah sahaja yang mampu dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi nafas untuk meneruskan kehidupan di atas bumi yang penuh fana ini…
Sebelum ini kita menceritakan tentang lazatkah maksiat…
Sekarang kita akan menghayati pula Ayat Cinta yang tidak pernah jemu dibaca…
Artikel ini saya petik daripada majalah solusi yang semakin diminati sekarang…
Mari kita sama-sama renungi dan hayati artikel ini…

Ayat Cinta Yang Tidak Jemu Dibaca


Apabila sebut soal cinta kita akan terbayang cinta kepada kekasih, suami isteri dan ibu bapa. Malah kadang-kadang cinta itu dianggap sebagai hina dan buruk kerana lazimnya orang yang bercinta hanya sekadar pada lidah tidak pada hati. Lalu apabila disebut cinta, persepsi negative sudah tertanam dalam fikiran.
 

     Tetapi tahukah anda bahawa perkataan cinta banyak kali disebut dalam al-Quran dan Allah amat mencintai kebaikan. Ini memberi isyarat bahawa kita wajib mencintai Allah dan segala kebaikan yang disediakan-Nya. Cinta kepada kekasih tentunya tidak sama dengan cinta kepada Allah, cinta yang pastinya tidak sekadar di lidah. Namun begitu bagaimana kita harus memulakan kecintaan kepada Allah?
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Katakanlah wahai Muhammad kepada kaummu : ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali ‘Imran 3:31)
     Cinta kepada Allah boleh dibuktikan dengancinta kepada Rasulullah. Tingginya kecintaan kepada Rasul melambangkan tingginya cinta kepada Allah. Bagaimana seseorang itu boleh dikatakan mencintai Rasulullah ? Apakah ukuran yang dikatakan mencintai Rasulullah. Di sinilah terletaknya punca yang menyebabkan umat Islam gagal mencintai Allah atau cintanya tidak berbalas. Mereka mendakwa cintakan Allah tetapi tidak cintakan Rasulullah dalam erti kata yang sebenarnya. Cinta yang mungkin tidak di hati atau tidak menepati konsep cinta yang sebenar.

Cinta Rasulullah


     Tidak kenal maka tidak cinta, begitulah bunyi pepatah orang Melayu yang sering dikaitkan dengan asas cinta. Mana mungkin seseorang itu boleh mencintai seseorang tanpa dia mengenali orang itu terlebih dahulu. Jadi, untuk mencintai Rasulullah, sudah tentu kita perlu mengenali Rasulullah. Sebenarnya jalan pintas dan paling mudah untuk mengenali Rasulullah adalah dengan mengikut sunahnya.

Cinta dan Pengampunan


     Berdasarkan firman Allah s.w.t. di atas daripada surah Ali ‘Imran ayat 31, Allah memberi jaminan untuk mengasihi dan mengampuni dosa-dosa umat Islam jika mereka mencintai Rasulullah dan Allah s.w.t. Tetapi apakah kaitan cinta dengan pengampunan ?
Ya, Allah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang mengetahui keinsafan umat Islam setiap kali membaca ayat-ayat al-Quran. Mereka yang bukan sekadar membaca bahkan terus mengamalkannya dalam kehidupan. Akan terbit rasa berdosa dan rasa bersalah, lantas terus bertaubat.
     Sebagai tanda cinta kepada Allah perlulah diperbanyakkan membaca al-Quran kerana Rasulullah begitu banyak membacanya. Bacalah ayat yang boleh memberi motivasi kepada dalam kehidupan. Juga ayat yang mengajak kita kepada syurga dan melakukan amalan yang mendorong kepada syurga.
Persoalannya, sejauh manakah kita sudah mencontohi Rasulullah dan mengamalkan sunahnya ? Berapa banyak pula ayat kita boleh baca dalam satu hari ?

Buktikan Cinta Kita


     Menyedari kelemahan dan kekurangan yang lampau, marilah kita kembali menghayati ajaran Islam dengan mencintai Allah, mencintai rasul dan al-Quran. Setelah itu cintailah sesama  umat Islam.
Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah mencintai orang yang berjuang untuk membela agama-Nya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.” (Surah al-Saff 61:4)

Sesungguhnya setiap umat manusia pernah melakukan dosa, salah mahupun kesilapan dalam hidup termasuklah diri saya yang hina ini…
Tetapi mahukah kita tetap melakukan dosa atau mengulangi dosa yang dilakukan…Sesungguhnya kita hanyalah yang bergelar INSAN…
Semoga apa yang disampaikan menjadi iktibar, pedoman dan pengajaran dalam hidup kita semua terutama kepada diri saya sendiri…
Hayatilah lirik lagu dan video di bawah ini..
Sesungguhnya yang baik lagi mulia itu datang daripada Allah s.w.t…
Yang kurang dan lemah itu datang daripada diri saya sendiri…
Innallahama’na…Biitaufiq Wannajah…
Assalammualaikum wbt…Salam Ukhwah Fillaah…^_^

Lirik Lagu : KEREDHAANMU

Ya Allah, Ya Tuhanku
HambaMu merindukan
Rahmat kasih sayangMu
Dan jua keredhaanMu
Dalam hidupku

Meskipun ku ulangi dosa noda
Yang menjanjikan azab sengsara
Namun ku sedari
KeampunanMu tidak bertepi

Ku akui diri ini
Hamba yang mungkir pada janji-janji
Jadikanlah taubat ini yang sejati
PadaMu Ilahi

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku
Ya Allah, redhakanlah kehidupanku
Moga terhapus penghijab kalbu
Antara Kau dan aku

Tuhan,
Ku zalimi diri ini
Andai Kau tak ampuni dan rahmati
Alangkah ruginya diri

Tuhan,
Jangan Kau palingkan hati ini
Setelah Kau beri hidayah
Sesungguhnya Kau Maha Pengasih






No comments:

Post a Comment