Thursday 26 January 2012

Asma’ul Husna ke-3:
AR-RAHIM (Maha Penyayang) :-
“Pemberi nikmat dan sayang-Nya ke atas hamba-hamba-Nya di alam akhirat”
Fadhilat :
Membaca ‘Ya Rahim’ setiap hari akan dilembutkan hatinya dan akan timbul perasaan sayang kepada kepada sesame makhluk.Jika bibaca 100 kali selepas solat Subuh akan disayangi dan disukai oleh orang ramai…InsyaAllah…


Assalammulaikum wbt…
Rasa syukur saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana masih diberi nafas untuk meneruskan kehidupan…
Sebelum ini saya memaparkan artikel tentang ayat cinta yang tidak jemu dibaca…
Seterusnya saya akan menceritakan pula tentang ganjaran umat muslimin iaitu syurga…
Tapi saya akan menceritakan tentang syurga Firdaus ataupun al-Jannatul Firdaus…
Saya petik artikel ini daripada majalah solusi…
Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada majalah solusi kerana menyajikan pelbagai artikel yang sangat menarik dan boleh dijadikan sebagai iktibar dan panduan hidup…


SYURGA FIRDAUS

Hari itu ibu Harithah bin Suraqah datang kepada Nabi s.a.w.. Anaknya Harithah yang telah terbunuh dalam peristiwa perang Badar. Ibu tua ini datang untuk mengajukan suatu soalan kepada Rasulullah s.a.w.. “Ya Rasulullah, beritahukan aku tentang Harithah. Adakah ia berada di syurga sehingga aku boleh bersabar, atau apakah ia berada di neraka sehingga aku boleh bersedih ?” soalnya.

Rasulullah s.a.w. menjawab yang bermaksud : “Wahai ibu Harithah, taman-taman syurga bukan hanya satu, melainkan sangat banyak. Dan anakmu telah mendapatkan al-Firdaus al-A’la.” (Riwayat al-Bukhari dan al-Tirmizi daripada Anas bin Malik)

Di Bawah Arasy

     Perbincangan kita tentang syurga berlanjutan mengenai tempat yang paling tinggi dan paling indah di dalam syurga, iaitu al-Firdaus al-A’la.

     Dari segi bahasa, “firdaus” bermakna “taman”, berasal daripada bahasa Rom yang diadaptasi ke bahasa Arab. Abu Ishaq al-Zajaj (w. 311H), seorang pakar bahasa, menjelaskan bahawa firdaus adalah sebutan untuk taman yang tertinggi dan menghimpun semua keindahan yang terdapat di taman-taman yang lain.

     Penjelasan al-Zajaj ini selari dengan hadis Nabi s.a.w. di atas. Jika boleh diibaratkan, syurga ibarat sebuah negeri yang sangat luas dengan taman-taman yang sangat banyak. Setiap taman itu berbeza-beza dari segi keindahan dn ketinggian darjatnya. Antara taman-taman tersebut, taman firdaus ialah puncak tertinggi yang terletak di tengah-tengah syurga dan merupakan tempat yang paling indah jika dibandingkan dengan taman-taman yang lain.

     Dalam hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya di syurga terdapat seratus darjat yang Allah sediakan untuk orang yang berjihad di jalan Alllah. Antara dua darjat seperti jarak antara langit dan bumi. Maka jika kam meminta kepada Allah, mintalah al-Firdaus al-A’la. Sesungguhnya ia berada di tengah-tengah syurga dan tempat yang paling tinggi. Di atasnya terdapat Arasy Allah. Daripadanya mengalir sungai-sungai syurga.” Menurut Ibn Hazm dalam kitab al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa’ al-Nihal, hadis ini berisi informasi bahawa Arasy ialah makhluk tertinggi, terbesar dan yang paling akhir Allah ciptakan. Itulah makna “Allah beristiwa” di atasnya, yakni Allah menyempurnakan semua penciptaan dengan menjadikan Arasy. Yakni tiada lagi benda ataupun ruang selepas penciptaan Arasy.

     Bagi saya, pendapat ini cukup berasas. Beberapa hadis memberi isyarat bahawa Arasy ialah memberi isyarat bahawa Arasy ialah makhluk tertinggi. Misalnya hadis riwayat al- Nasa’I dan Ibn Majah daripada Wail bin Hujr tentang seseorang yang memuji Allah dalam solatnya dengan pujian yang sangat indah. Rasulullah s.a.w. lalu bersabda yang bermaksud : “Kalimat itu dikejar oleh dua belas orang malaikat. Dan ia tidak berhenti hingga tiba di Arasy Allah.” Ertinya, kalimat itu terus naik ke atas dan tidak berhenti kecuali di tempat yang paling tinggi di alam wujud ini, iaitu Arasy. Jadi, apabila syurga firdaus berada tepat di bawah Arasy, maka ianya menepati tahap kedua dalam ketinggian. Posisi setinggi itu tentunya hanya untuk hamba-hamba pilihan yang paling tinggi darjatnya di sisi Allah s.w.t..

Calon Penghuni Firdaus


Hamba-hamba pilihan yang bakal menempati firdaus adalah para nabi dan rasul, juga para siddiqun yang benar-benar mengikuti jejak langkah mereka. Mereka akan ditempatkan di dalam bilik-bilik ekslusif (ghuraf) di atas syurga yang sangat tinggi. Dalam hadis al-sahihain daripada Abu Said al-Khudri, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud : “Sesungguhnya ahli syurga melihat ahli bilik di atas mereka sepertimana melihat sinaran bintang di ufuk timur atau barat kerana kejauhannya”.
    
     Para sahabat bertanya : “Ya Rasulullah! Adakah itu tempat para nabi yang tidak dapat dicapai oleh selain mereka ?” Rasulullah s.a.w. menjawab : “Ya. Demi jiwaku berada di tangan-Nya, dan orang yang beriman dan membenarkan rasul-rasul.” Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitabnya Fath al-Bari menjelaskan makna “beriman dan membenarkan rasul-rasul” di sini adalah benar-benar mengikuti sunah Nabi s.a.w. dalam ucapan, perbuatan dan kondisi hati. Mereka ini disebut “siddiqun”, dan merekalah yang akan menempati posisi tertinggi di syurga nanti setelah para nabi.
     Selain itu, tempat ini juga akan diisi oleh para syuhada yang telah mengorbankan jiwa dalam membela agama Allah daripada ancaman musuh-musuhnya. Hadis ibu Harithah di atas menjadi salah satu dalilnya.

Al-Wasilah


     Ternyata di dalam al-Firdaus al-A’la sendiri penghuninya berada dalam darjat yang bertingkat-tingkat. Tingkatan tertinggi itu dikenali dengan nama al-Wasilah, dan diperuntukkan khas hanya bagi seorang sahaja daripada hamba-hamba Allah s.w.t.
     Di akhir hadis yang mengajarkan doa selepas azan, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Mintakanlah al-wasilah untukku. Sesungguhnya ia adalah sebuah tempat (manzilah) di syurga yang hanya diperuntukkan bagi seorang hamba Allah sahaja daripada hamba-hamba-Nya. Aku berharap akulah orang itu.” (Muttafaq ‘alaih)
     Dalam riwayat al-Tirmizi, para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah al-wasilah?” Baginda menjawab yang bermaksud: “Ia tempat yang tertinggi di syurga, tidak ada yang mencapainya kecuali seorang sahaja. Dan aku berharap akulah orangnya.”
     Harapan Rasulullah s.a.w. akan menjadi kenyataan pada hari kiamat nanti. Beliau akan menempati al-wasilah di syurga firdaus dan menjadi makhluk Allah yang paling tinggi darjatnya secara mutlak di dunia dan akhirat.



Akhlak Mulia


     Syurga firdaus juga terbuka bagi orang yang menjaga akhlaknya dalam pergaulan. Bersabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Aku menjamin sebuah rumah di bawah syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran meskipun ia benar. Dan sebuah rumah di tengah rumah bagi orang yang meninggalkan dusta meskipun dalam gurauan. Dan sebuah rumah di syurga tertinggi bagi orang yang berakhlak mulia.” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih)

Semoga apa yang disampaikan menjadi iktibar dan pedoman buat kita semua…
Sesungguhnya apa yang baik itu daripada Allah swt…
Yang kurang dari kelemahan diri saya sendiri…
Innallahama’na…Bittaufiq Wannajah…
Assalammualaikum wbt…Salam Ukhwah Fillaah…^_^


No comments:

Post a Comment