Monday 12 December 2011

Cinta Kepada Allah Yang Esa

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…
Hanya ucapan Alhamdulillah sahaja yang mampu dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi nafas untuk meneruskan kehidupan di atas bumi yang penuh fana ini…
Sebelum ini kita menceritakan tentang kisah seorang wanita teragung iaitu Khadijah al-Khuwailid …
Sekarang kita akan menghayati pula Cinta kepada Allah Yang Esa…
Artikel ini saya petik daripada majalah solusi yang semakin diminati sekarang…
Mari kita sama-sama renungi dan hayati artikel ini…

Cinta Kepada-Mu


Apabila memperkatakan tentang cinta, kita tidak dapat lari daripada berbicara soal hati dan rasa. Ya, cinta letaknya di hati yang diumpamakan sebagai raja dalam kerajaan diri manusia. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “Bahawasanya di dalam jasad anak Adam ada seketul daging. Apabila baik daging itu, baiklah seluruh anggotanya. Sebaliknya, jika jahat daging itu, maka jahatlah seluruh anggotanya. Ketahuilah bahawa daging itu ialah hati.” (Riwayat al-Bukhari no.52 dan Muslim no.1599)…

Hati itu dikuasai oleh cintanya. Ini bermakna, cinta yang harus bersemi di hati mestilah cinta yang “baik”. Barulah hati akan akan menjadi baik, dan seluruh anggota jadi baik. Tapi jika cinta itu “jahat” maka jahatlah hati dan jahat pulalah seluruh anggota badan…

Berhati-hatilah menjaga hati dengan berhati-hati meletakkan cinta di dalamnya. Jangan dibiarkan hati itu dipenuhi oleh cinta yang jahat, buruk dan “cacat”. Bagaimana benih cinta yang kita tanam dan suburka di dalam jiwa, maka begitulah pohon yang akan tumbuh dan berbuah pada fikiran dan seluruh tindakan. Umpama menyerahkan kepimpinan negara kepada seorang yang jahat, kita tentu tahu apa akibatnya bukan ? Pemimpin yang jahat akan melakukan kemungkaran, kezaliman, rasuah dan lain-lain kejahatan yang akan menghancurkan sebuah negara. Maka begitulah hati yang jahat, akan menyebabkan seluruh diri kita terarah kepada kejahatan…

Apa itu cinta ? Menurut Imam al-Ghazali, cinta itu ialah kecenderungan jiwa yang amat kuat dalam diri seseorang kepada sesuatu atau seseorang lain yang boleh memberi kelazatan, manfaat dan sangat serasi dengan fitrahnya (tabiat). Apa fitrah manusia ? Setiap manusia sangat menyenangi kesempunaan (al-Kamal) dan keindahan (al-Jamal). Justeru, siapakah lagi yang Maha Sempurna dan Maha Indah selain Allah ? Tidak ada sesiapa lagi. Oleh sebab itu, hanya Allah yang layak menjadi tujuan kecintaan. Sebab itu orang Mukmin sangat mendalam rasa cintanya kepada Allah. Firman Allah bermaksud: “Orang yang beriman itu sangat kuat kecintaan kepada Allah.” (Surah al-Baqarah 2: 165)…

Cinta Allah Kepada Manusia 

Mengapa kita perlu cintakan Allah ? Jawapan mudahnya adalah kerana Allah yang paling mencintai kita. Allah mencintai kita lebih daripada sesiapa sahaja yang telah, sedang atau akan mencintai kita. Sesiapa sahaja yang mencintai kita itu hakikatnya Allah yang menjadikannya dan Allah jua yang menitipkan rasa cinta itu ke dalam dirinya untuk mencintai kita. Tegasnya, segala rasa cinta yang diluahkan oleh manusia untuk mencintai manusia lain adalah bersumberkan cinta kepada Allah…


Allah mencintai kita lalu Allah menjadikan kita daripada tiada kepada ada. Setiap hari kita memerlukan Allah untuk hidup dan menikmati kehidupan bersumberkan segala nikmat dan rahmat yang diberikan-Nya. Kenapa kita cintakan seseorang ? Mungkin kerana cantik, baik atau banyak budinya terhadap kita. Kalau cinta kita kerana budi dan jasa, maka Allah- lah yang paling banyak berbudi dan berjasa kepada kita…

Begitu banyak nikmat-Nya buat kita sehingga tidak terhitung. Firman Allah lagi yang bermaksud: “Jika kamu hendak menghitung nikmat-Ku nescaya kamu tidak terhitung.” (Surah Ibrahim 14: 34). Allah mengurniakan nikmat bukan sekali- sekali, tetapi setiap masa dan sentiasa! Jika cinta itu kerana kecantikan dan keindahan, maka Allah jua yang Maha Indah dan Maha Cantik. Allah indah pada sifat, nama, dan perbuatan-Nya. Sebenarnya hati setiap manusia secara fitrahnya mencintai dan merindui Allah. Allah itulah kekasih sejati dan kecintaan yang wajar. Kenapa dikatakan begitu ? Dan benarkah begitu ? Baiklah, mari kita fikirkan dan renungkan bersama…

Cinta Allah Itu Fitrah Hati

Bukankah setiap hati inginkan kasih sayang, keadilan, kekayaan, keindahan dan lain-lain sifat yang mulia, baik dan sempurna dalam hidup ini ? Ya, tidak ada seorang manusia pun yang tidak inginkan kebaikan, kemuliaan dan kesempurnaan. Ketika dilanda kemiskinan, manusia inginkan kekayaan. Ketika dipinggirkan, kita inginkan kasih sayang. Ketika dizalimi, kita inginkan keadilan. Sedarkah kita ketika kita mengingini semua itu, kita sebenarnya mencintai Allah ? MENGAPA ? Ini adalah kerana Allah sahaja yang memiliki segala-gala yang diingini oleh kita itu…

Bukankah Allah itu al-Ghani, memiliki kekayaan yang diingini oleh si miskin ? Allah itu al-Rahman, yang mempunyai kasih sayang yang diidamkan oleh mereka yang terpinggir. Allah itu al-Adl yang mampu memberi keadilan yang didambakan oleh orang yang tertindas. Itulah nama-nama yang baik (Asma’ al-Husna) yang menggambarkan keindahan, kasih sayang dan segala sifat kesempurnaan-Nya. Sebutlah… apa sahaja keinginan manusia tentang kebaikan dan kesempurnaan, maka di situ sebenarnya (secara langsung ataupun tidak) sebagai asas atau bekalan bagi manusia mencintai Allah. Inilah rintihan dan keinginan yang tidak dapat ditolak dan dihapuskan selagi manusia punya hati dan perasaan…

Rasa bertuhan inilah yang menurut Imam al-Ghazali, tidak akan dapat dinafikan oleh hati sekalipun sering dinafikan oleh sifat keegoan manusia. Rasa bertuhan itulah benih cinta yang telah dibina (install) secara fitrah (tabii) dalam diri setiap manusia untuk mencintai-Nya. Pendek kata, Allah mempunyai segaa sebab untuk dicintai. Alangkah jahil, jahat dan alpanya manusia yang tidak mencintai Allah. Mereka ialah orang yang tidak mengenang budi, tidak tahu membalas jasa dan tidak menghargai kebaikan, kesempurnaan dan keindahan Allah s.w.t.. Mereka ialah manusia yang sangat jahil, degil dan ingkar (kufur)…

Ya, memang sukar mencintai Allah walaupun kita tahu bahawa Dia-lah yang sewajarnya kita cintai. Budi kasih sayang dan nikmat-Nya terlalu banyak untuk dinafikan dan dimungkiri. Segala kebaikan yang Allah limpahkan ke atas kita melebihi kebaikan manusia yang paling berbudi (siapa lagi kalau bukan ibu kita). Hatta kasih ibu yang sejati itupun hanya sekelumit jika hendak dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit…

 

Kejahilan


Ya, sekali lagi kita bertanya kepada hati kita… kenapa sukar benar mencintai-Nya ? Walapun fikiran kita mengiakannya, iaitu lojik dan patut kita mencintai Allah. Tetapi hati kita masih berat, masih sukar merasainya. Mengapa ???

Penghalang paling utama untuk mencintai Allah ialah kejahilan. Akibat jahil kita tidak kenal kebaikan, keindahan dan kesempurnaan Allah. Padahal, hukum cinta telah termaktub – tak kenal, maka tak cinta. Dalam konteks ini Syeikh Abdul Qadir al-Jilani menegaskan bahawa tahap cinta seseorang manusia kepada Allah adalah sejauh mana ia mengenal-Nya…

Perlu diingat, jahil itu bukan bermakna tertutupnya pintu akal untuk mengetahui sifat-sifat kesempurnaan dan keindahan Allah tetapi hakikat kejahilan itu adalah tertutupnya pintu hati untuk mengenal Allah. Kenal dengan hati, tahu dengan akal. Ramai manusia yang hanya mengetahui keindahan dan kesempurnaan Allah dengan akalnya. Mereka belajar, mengkaji dan menuntut ilmu tauhid. Malangnya, ilmu itu tidak diresap ke dalam hati melalui amal ibadah dan mujahadah…

Cinta Membawa Ke Syurga 

Seorang Arab Badwi bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya, “Bilakah akan berlaku kiamat ya Rasulullah ?” Rasulullah tidak menjawab, sebaliknya menyoalnya semula, “Apakah yang telah engkau sediakan untuk menghadapinya ?”. Orang Badwi itu menjawab, “Aku tidak menyediakannya dengan banyak mendirikan solat dan berpuasa tetapi aku menyediakannya dengan hati yang amat mencintaimu.”. Mendengar jawapan orang Badwi itu, Rasulullah s.a.w. terus bersabda yang bermaksud : “Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya di akhirat kelak.” (Muttafaq ‘alaih)…

Alangkah bertuahnya jika cinta kita benar, betul dan tepat – kita akan sentiasa bersama kebenaran dan akan bersama dengan cinta itu di syurga nanti. Sebaliknya, alangkah malangnya jika kita salah meletakkan cinta, kita akan bersamanya dineraka !!!

Itulah peri agung dan pentingnya cinta. Insya-Allah, orang Badwi yang mencintai Rasulullah s.a.w. itu akan bersama Rasulullah s.a.w. di syurga. Ya, kita akan sentiasa bersama dengan orang yang kita cintai semasa di dunia dan di akhirat nanti. Itu kepastian yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. sendiri. Sesungguhnya, mencintai Rasulullah s.a.w. ertinya mencintai Allah. Firman-Nya yang bermaksud : “Sesiapa yang mencintai Allah, maka ikutlah aku.” (Surah Ali ‘Imran 3: 31)…

Sekian sahaja daripada hamba Allah SWT yang lemah ini...
Yang baik itu datang daripada Allah SWT...dan
Yang buruk itu datang daripada kelemahan diri saya sendiri...
Innallahama'na...Bittaufiq Wannajah...
Assalamualaikum wbt............

No comments:

Post a Comment