Sunday 4 December 2011

Khadijah al-Khuwailid_Isteri Terbaik

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…
Hanya ucapan Alhamdulillah sahaja yang mampu dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih diberi nafas untuk meneruskan kehidupan di atas bumi yang penuh fana ini…
Sebelum ini kita menceritakan tentang azab seksaan Allah SWT kepada hambaNya yang fasiq…
Sekarang kita akan menyingkap pula kisah seorang wanita teragung iaitu Khadijah al-Khuwailid…
Artikel ini saya petik daripada majalah solusi yang semakin diminati sekarang…
Mari kita sama-sama renungi dan hayati kisah ini…

KHADIJAH AL-KHUWAILID Isteri Terbaik


Siapakah wanita pertama yang beriman pada saat semua orangmengingkari kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. ? Siapakah wanita yang sanggup mendermakan seluruh hartanya pada saat semua orang enggan memberinya ? Siapakah wanita yang mampu memberikan Rasulullah s.a.w. keturunan ? Siapakah wanita yang bijak meneguhkan hati seorang suami pada saat semua orang membencinya ?
Semua jawapan ini terhimpun pada Khadijah al-Khuwailid. Terangkat kemuliaannya sebagai murabbiah paling terang daripada segenap gugusan bintang…

Profil Khadijah


Beliau juga terkenal sebagai Ummu al-Qasim binti Khuwailid bin Asad bin Abdul ‘Uzza bin Qushai bin Kilab. Lahir di Umm al-Qura (Makkah) sekitar 15 tahun sebelum tahun Gajah. Beliau berketurunan suku Quraisy daripada keluarga Bani Asad. Menurut al-Zubair bin Bakkar, sejak zaman jahiliah, beliau dikalungkan gelaran al-Tahirah (wanita suci) oleh masyarakat setempat. Ini disebabkan oleh sifatnya yang sukakan kebersihan dan kesucian. Ibunya bernama Fatimah binti Za’idah al-‘Amiriyah…

Beliau merupakan seorang usahawan wanita yang terkemuka, sangat Berjaya dalam bidang perniagaan. Satu kafilah dagang Khadijah yang dihantar ke Syria menyamai dengan consortium beberapa kafilah dagang Quraisy. Sebelum dimahkotakan darjat sebagai Ummu al-Mukminin yang pertama, Khadijah telah beberapa kali menikah. Suami pertamanya ialah Abu Halah bin Zurarah al-Tamimi. Setelah kematian suaminya, beliau bernikah dengan ‘Atid bin ‘Abid bin Abdullah bin Umar bin Makhzum. Namun, perkahwinan itu tidak kekal. Ramai pembesar Quraisy yang melamar Khadijah namun ditolak kesemuanya selepas itu. Pemuda yang Berjaya menambat hatinya ialah Muhammad bin Abdullah yang ketika itu baru berusia 25 tahun. Lebih muda 15 tahun daripada usianya. Hiduplah beliau di sisi Muhammad sebagau tauladan isteri paling solehah sepanjang zaman…

Khadijah di hati Nabi s.a.w.


Khadijah merupakan isteri kesayangan Nabi Muhammad s.a.w.. Beliau dimuliakan suamiketika hidup dan sesudah wafat. Pengobanan beliau sentiasa dikenang dan menjadi ingatan abadi. Pujian yang sentiasa meniti di bibir Nabi terhadap insan bernama Khadijah r.ha. mengundang kecemburuan Aisyah r.ha., biarpun pada saat itu Khadijah r.ha. sudah pun wafat. Aisya berkata, “Saya tidak pernah cemburu kepada seorang wanita seperti kecemburuanku kepada Khadijah kerana Rasulullah sering menyebut-nyebut nama nya…” (Muttafaq ‘alaih). Aisyah melanjutkan cerita “JikaRasulullah s.a.w. menyembelih kambing, maka Baginda berkata, ‘Bahagikan kepada teman-teman Khadijah’. Saya pernah membuat Rasulullah marah apabila berkata, ‘Lagi-lagi Khadijah !’ Baginda berkata, ‘Sesungguhnya saya amat mencintainya…’ (Muttafaq ‘alaih)…

Ibu yang Barakah


Khadijah melahirkan keturunan bagi Nabi. Permata hati mereka seramai enam orang iaitu dua lelaki dan empat perempuan. Mereka ialah al-Qasim, Abdullah, Fatimah, Ummu Kulthum, Zainab dan Ruqayyah. (Al Baihaqi, Dala’il al-Nubuwwah, hlm. 70). Beliau tabah menerima takdir apabila semua puteranya dijemput menghadap Allah ketika masih kecil. Keberkatannya terserlah apabila dipilih oleh Allah s.w.t. untuk melahirkan penghulu wanita di syurga iaitu Fatimah binti Muhammad…

Kematangan Khadijah Memilih Pasangan Hidup


Beliau menolak sekian banyak lamaran tokoh-tokoh Quraisy kerana dapat menduga ketertarikan mereka lebih kerana tamakkan harta Khadijah. Wanita yang matang menilai ini menemui keluhuran akhlak pada peribadi Nabi yang amanah menguruskan hartanya, bukannya diperhambakan oleh harta. Peribadi Rasulullah dirisik melalui hamba lelakinya, Maisarah.

Hasrat hati lalu diungkapkan melalui sahabat karibnya, Nafisah binti Munabbih. Beliau tidak mengungkapnya sendiri kerana ingin menjaga martabat malu seorang wanita. Rasulullah s.a.w. menerima hasrat itu dengan lapang dada. Lalu, disampaikan keinginannya menikahi Khadijah kepada bapa-bapa saudaranya. Maka Abu Talib, Hamzah dan bapa-bapa saudara Nabi yang lain menemui bapa saudara Khadijah, ‘Amr bin Asad untuk meminang Khadijah bagi pihak Muhammad. Walaupun menikahi seorang lelaki miskin bernama Muhammad, Khadijah bahkan terasa makin kaya. Kaya harta dan ditambah kaya jiwa. Kekayaan budi pekerti Muhammad menambahkan kekayaan hidupnya. Patah lagi, Muhammad sangat cekap berniaga, amanah dan dating daripada keturunan terhormat…

Segera Menyahut Kebenaran


Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. pulang ke rumah setelah diajar Jibrail cara mengerjakan solat. Rasulullah s.a.w. pulang dan mengkhabarkan kepada Khadijah. Khadijah pun segera minta diajar dengan berkata, “Tunjukkanlah kepada dinda apa yang ditunjukkan Jibrail kepada kanda.” Rasulullah s.a.w. lantas mengajarnya berwuduk dan solat. Kemudian, mereka solat bersama-sama. Setelah solat, Khadijah bersaksi atas kerasulannya. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata dalam kitab al-Isabah. “Riwayat ini merupakan bukti paling jelas tentang keislaman Khadijah.” Saat itu, solat lima waktu belum diwajibkan. Solat yang diajar Jibrail hanyalah solat dua rakaat pada waktu pagi dan solat dua rakaat pada waktu malam…

Menghormati Ibu Susuan Nabi


Khadijah dengan senang hati bersama-sama suaminya membawa Ummu Aiman, ibu susuan Nabi ke rumahnya selepas pernikahan mereka. Ummu Aiman yang berjasa itu dimuliakan seperti memuliakan ibu kandungnya sendiri. Bukan itu sahaja, ketika Halimah al-Sa’adiah dating mengadu kepada Nabi tentang penderitaan kemiskinan di Kampung Bani Saad, Khadijah bermurah hati menghadiahkan 40 ekor kambing dan seekor untuk membawa air dan bekalan yang cukup. Beliau sedar, suaminya membesar dalam pelukan Halimah. Kampung Bani Saad itu pula penuh nostalgia semasa hari-hari kecil suaminya. Itulah cara Khadijah memuliakannya…

Peka Membaca Apa yang Disukai Nabi


Khadijah tahu bahawa Nabi s.a.w. amat menyukai hambanya, Zaid bin Harithah. Tanpa berlengah lagi, beliau menghadiahkan hambanya itu kepada suami tercinta. Zaid lalu dimuliakan Nabi menjadi anak angkatnya dengan gelaran Zaid bin Muhammad sebelum larangan tersebut disyariatkan…

Menenangkan Suami yang Ketakutan


Dalam peristiwa agung penurunan wahyu yang pertama di Gua Hira’, prosesnya amat berat dan melelahkan. Gema suara Jibrail yang menyeru “Bacalah!” terasa amat menggerunkan. Rasulullah s.a.w. pulang dalam keadaan ketakutan. “Selimuti daku! Selimuti daku!” pinta Rasulullah tatkala disambut isterinya.

Setelah itu, Rasulullah berkongsi ketakutannya dengan isteri tercinta. Dengan lembut bicara dan tenang wajahnya, Khadijah menghiburkan, “Jangan khuatir. Berbahagialah, sesungguhnya Allah tidak mungkin akan menghina kanda dengan kejadian itu. Selama ini kanda sering menyambung silaturahim, jujur dalam berbicara, meringankan beban orang yang susah, membantu orang yang lemah, menghormati tamu serta mendukung setiap kebenaran.” (Riwayat Muslim). Beliau dengan bijaksana membawa suaminya berjumpa Waraqah bin Naufal yang alim. Ia makin meneguhkan keyakinan suaminya…

Orang Pertama Memeluk Islam


Imam ‘Izzuddin bin Athir r.hm. berkata : “Khadijah adalah manusia pertama yang memeluk Islam.” (Usud al-Ghabah, hlm.78) Dialah peneguh dakwah Nabi s.a.w.. Mengorbankan seluruh kekayaannya semi agama yang diimani. Saat orang Islam ditindas, didera dan dipulaukan, beliau tetap di belakang suaminya, seorang Nabi…

 

Begitulah sedikit sebanyak yang dapat saya ceritakan mengenai seorang serikandi yang bernama Khadijah…Sebenarnya terlalu banyak sifat dan akhlak Khadijah yang boleh diceritakan…Tetapi, sekadar ini sahaja yang saya mampu…Terima kasih kepada majalah solusi kerana menyajikan sebuah kisah yang begitu menarik dan menyentuh hati…
Harapan saya, semoga pembaca terhibur dengan kisah ini dan semoga sesiapa sahaja yang membaca artikel ini dapat mencontohi dan mengikuti akhlak Khadijah…
Jadikan ia sebagai suatu tauladan, bukan suatu sempadan…
Yang baik itu tentulah datang daripada Allah Yang Maha Esa…
Yang lemah itu datang daripada kelemahan diri saya sendiri…
Sekian, Bittaufiq Wannajah…

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…Salam Ukhwah Fillah

No comments:

Post a Comment